Jangan lupa solat walaupun BERSUKAN Berjam-jam!

Apa yang anda perlu lakukan untuk membuat persediaan solat apabila anda menyertai aktiviti sukan jangka masa yang panjang?

Terutama apabila melibatkan waktu solat yang sangat singkat seperti solat Subuh dan Maghrib. Takkan nak tinggalkan solat?

 Praying tips for sporting events

Berikut adalah tip-tip yang boleh digunakan supaya anda bersedia mengerjakan solat semasa aktiviti sukan yang panjang seperti larian marathon, mendaki gunung dan berbasikal.

Pemakaian

Jika pakaian sukan anda bersih, menutupi aurat tidak ketat menampakkan tubuh, anda boleh memakai pakaian sukan anda untuk solat.

Bagi wanita yang tidak yakin pemakaiannya tidak menutupi aurat dengan betul, dan khuatir tiada telekung di tempat solat yang disediakan, bawalah sekali telekung yang ringan dalam back pack kecil anda dan di sarankan bawa telekung travel

Bagi lelaki dan wanita, anda boleh melakukan solat dengan memakai kasut sukan anda. Tetapi pastikan tapak kasut anda tidak terpijak najis dan anda yakin ianya bersih. Untuk wanita, di sarankan memakai sekali stokin untuk mengelakkan dari menampakkan aurat kaki semasa solat.

Wuduk 

Jika waktu solat belum masuk lagi dan anda ingin mengurangkan masa untuk mengambil wuduk, ambillah wuduk sebelum aktiviti anda bermula. Jika wuduk anda tidak terbatal, solatlah di tempat yang bersesuaian dan paling dekat sejerus sahaja masuk waktu.

Jika anda kesuntukan masa dan tidak mahu mengambil masa yang terlalu lama untuk solat subuh, anda tidak perlu mandi atau bersihkan diri terlebih dahulu kerana peluh bukan lah termasuk dalam kategori najis yang membatalkan syarat sah solat  Ustaz Muhammad Yusuf Kadir

Anda boleh membawa spray 100ml sebagai wuduk. Ianya kecil dan mudah dibawa. Lihat VIDEO ini untuk belajar cara mengambil wuduk menggunakan spray.

Apa yang perlu anda lakukan jika sudah terlalu lewat untuk mengejar waktu solat?

1) Cari tempat yang di yakini bersih untuk solat

2) Ketahuilah arah kiblat. Anda boleh muat turun applikasi penunjuk arah kiblat di dalam telefon bimbit ataupun bawa kompas kiblat terlebih dahulu. Terdapat pelbagai aplikasi percuma di Google Play (Android) dan App Store (iOS) yang boleh anda muat turunkan.

3) Gunakan tuala kecil sebagai sejadah

4) Sebagai tujuan keselamatan bagi wanita, pastikan anda solat di tempat awam yang tertutup tetapi selamat. Sebaik-baiknya, jika anda bersolat di kawasan yang bukan dikhaskan untul solat, pastikan anda tidak keseorangan.

Sebaik-baiknya, buatlah persediaan awal sebelum aktiviti sukan anda :

1) Tanya pihak penganjur berkenaan info untuk menunaikan solat, Jika tiada  tempat disediakan, anda boleh meminta pihak penganjur membuat persediaan yang berpatutan untuk anda dan rakan-rakan muslimin yang lain 🙂

2) Ketahui stesen minyak yang berdekatan sepanjang jalan yang digunakan (terdapat banyak stesen minyak yang menyediakan kemudahan tempat solat)

3) Ketahui surau/masjid yang berdekatan sepanjang jalan yang di gunakan

4) Anda boleh menggunakan teknologi terkini untuk mencari maklumat yang berkenaan melalui internet atau aplikasi GPS yang boleh digunakan di telefon bimbit

5) Ketahuilah ‘timing’ anda dan lokasi solat yang disediakan atau yang berdekatan. Anda dapat merangka berapa lama anda akan berlari atau berbasikal daripada prestasi latihan-latihan sebelum acara tersebut. Buatlah perancangan lebih awal dengan melawat lokasi tersebut supaya anda lebih peka dengan keadaan sekeliling.

6) Ketahuilah waktu solat di lokasi acara sukan terlebih dahulu. Ini penting apabila anda menyertai acara di luar negara kerana waktu dan tempoh solat di negara-negara lain berbeza.

Contoh Info solat untuk marathon terdekat :

Kepada sesiapa sahaja yang telah mendaftar untuk menyertai acara FULL MARATHON Penang Bridge International Marathon yang akan di adakan 16 November 2014 akan datang, pasti anda telah membuat pelbagai latihan untuk menempuh pelbagai cabaran larian sepanjang 42.195KM.

Acara larian bermula :

  • 1.45 pagi (Wanita)
  • 1.30 pagi (Lelaki)
  • 2.00 pagi (Dewasa Lelaki & Wanita)

Masa yang di peruntukkan untuk menamatkan larian adalah 7 JAM, jadi sempatkah anda untuk melakukan solat subuh ketika berlari itu? Jangan jadikan solat sebagai satu bebanan.

1) Anda boleh melakukan solat subuh pada pertengahan larian di Toll Plaza (Bandar Cassia) sebelum memulakan semula larian u-turn ke garisan penamat.

2) Jika anda berlari laju dan hampir menuju ke selekoh garisan penamat, anda juga boleh solat diseberang jalan “Rest & Relax Area” yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti tandas dan tempat  mandi

3) Jika anda berjaya sampai ke garisan penamat awal sebelum waktu solat subuh berakhir kira-kira pukul 7 pagi, anda boleh segera menunaikan solat subuh di “Full Marathon Tent”

Boleh rujuk gambar routemap di bawah untuk melihat perjalanan anda sepanjang larian :

Marathon 2014 guidebook -part1a

 

Beriadahlah sambil beribadah, Pasti aktiviti sukan anda membawa berkat. Solat itu tiang agama.

Good Luck & Kongsi Bersama Rakan-Rakan Muslimah anda yang lain!

Leave a Reply