Tips bersederhana menyambut Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri bakal berkunjung tiba tidak lama lagi. Seluruh umat islam disyariatkan untuk menyambutnya dengan penuh rasa syukur dan gembira di atas nikmat kurnia yang Allah S.W.T anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan.

Di hari raya kita dapat berkumpul bersama ahli keluarga, menziarahi sanak saudara, menghadiri rumah terbuka dan banyak lagi. Namun dalam menyambutnya, tidak perlulah kita berlebih-lebihan atau bermegah-megah berbelanja sehingga membawa kepada sifat riak lebih-lebih lagi membawa kepada pembaziran. Allah S.W.T mengingatkan bahawa orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan.
.

Tips bagi mengelakkan pembaziran di hari raya

1. Berjimat Cermat Semasa Berbelanja
Jika kita lihat di pusat membeli belah pasti kebanyakan kedai membuat pelbagai promosi bagi menawarkan produknya sempena menyambut lebaran. Jangan mudah terpengaruh dengan promosi harga murah yang dilakukan, berbelanja sekadar yang perlu mengikut keperluan diri dan keluarga kita. Kita hendaklah sentiasa berjimat cermat dan bersederhana dalam berbelanja. Gunakan wang yang ada dengan berbelanja secara bijak.

2. Elakkan Membazir Makanan
Bila tiba hari raya kalau boleh kita ingin merasa semua makanan-makanan tradisi melayu yang sudah sinonim dengan hari raya. Pelbagai jenis makanan tradisi hari raya seperti lemang, ketupat, rendang, dodol dan banyak lagi. Jika zaman dahulu makanan-makanan ini disediakan sendiri tetapi kini zaman telah moden, hanya beli sahaja di pasaraya yang telah tersedia. Kita sepatutnya bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah. Jangan sampai menyediakan makanan hari raya yang terlalu banyak hingga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.

3. Kuih Raya beberapa jenis sahaja
Kadangkala didapati kuih raya sekadar hiasan sahaja, langsung tidak disentuh oleh tetamu. Malah kuih raya disimpan sehingga menyebabkannya rosak dan tidak boleh dimakan lagi. Justeru, sediakan sejenis atau dua jenis kuih raya ikut keperluan berdasarkan tahun-tahun lepas.

4. Baju raya
Jika puasa selama 30 hari, baju pun nak 30 pasang. MasyaAllah! Jangan jadikan hari raya kita dengan sifat riak dan membazir. Beli sepasang atau dua sahaja baju raja (jika mampu), jika tidak mampu, sediakan baju yang paling baru untuk dipakai di hari raya.

Kita perlu merancang perbelanjaan agar tidak berbelanja melebihi daripada kemampuan. Dalam kita bergembira menyambut hari raya, janganlah pula lupa kepada orang yang tidak berkemampuan. Ada yang tidak berkemampuan membeli pakaian baru dan tiada makanan di hari raya. Dengan bersederhana menyambut hari raya kita dapat bersyukur kepada Allah dengan nikmat rezeki yang kita perolehi.

Semoga dengan kedatangan Syawal tahun ini dapatlah kita mendidik diri dan ahli keluarga meraikannya dengan cara sederhana di samping terus mentaati apa yang diajarkan oleh agama Islam dan semoga kita semua juga diberi keberkatan dan keampunan serta dipanjangkan usia bertemu dengan Ramadan akan datang dan segala amalan kita sepanjang Ramadan diterima oleh-Nya.

 

 

 

Leave a Reply