NASHATA begins…

Assalamualaikum,

Mungkin saudari tertanya-tanya siapakah Nashata? Nashata ialah jenama baru pakaian muslimah yang saya dan rakan lama saya Faizah Moin mulakan pada April 2013.

ASAL-USUL NASHATA
Sebelum memakai hijab, saya sering melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sukan. Apabila saya bermula menutupi aurat dan memakai hijab, saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pemakaian yang sesuai untuk berlari dan beraktiviti rancak di luar.

Dalam mengkaji selidik, saya dapati kebanyakkan baju sukan yang dijual di Malaysia lazimnya berlengan pendek, mengikut bentuk badan dan tidak menutupi pinggul, apatah lagi melepasi peha. Seluar senaman yang berjenama pula kebanyakkannya tiga suku panjang dan memeluk susuk badan.

Saya juga dapati tudung-tudung di pasaran tidak sesuai untuk aktiviti-aktiviti luar. Kebanyakan muslimah menjalankan aktiviti luar dengan menggunakan pemakaian yang sedia ada di pasaran yang berlengan pendek dan ditambahkan pula dengan sarong lengan yang berasingan dan tidak seragam. Ramai juga memakai selendang pendek yang tidak menutupi bahagian dada. Ini adalah kerana tiada selendang mahupun hijab yang direka khas untuk aktiviti-aktiviti luar di pasaran.

Sebaliknya, baju-baju sukan muslimah dan berlengan panjang yang dijual di internet dari luar negara pula agak mahal, dan pada dasarnya fabrik yang digunakan tidak sesuai dengan cuaca yang panas dan lembap di Malaysia. Apatah lagi, kos pengangkutan untuk barangan dari luar negeri agak mahal dan tempoh penghantaran pula kadang-kadang melebihi tiga minggu. Saya juga cuba berkerjasama dengan seorang saudari usahawan yang beroperasi di Afrika, tetapi malangnya tidak berjaya.

Secara kebetulan pula, rakan saya Faizah yang selalu ke gim juga menghadapi isu yang sama. Oleh itu, kami berdua ingin memberi solusi untuk saudari-muslimah kami yang lain, insyaAllah. Ini adalah kerana kami juga memerlukan produk-produk yang dapat memberi kami kebebasan untuk menjalani aktiviti sukan dan aktiviti luar tanpa menjejaskan cara pemakaian dan kepercayaan kami.

MAKSUD NASHATA
Nashata adalah ciptaan dan rekaan kami untuk saudari-muslimah yang lain. Kami berharap dapat menawarkan lebih banyak lagi ciptaan dan rekaan yang sesuai untuk para muslimah untuk mengecapi gaya hidup yang aktif dan sihat.

Perkataan ‘Nashata’ telah dipetik dari perkataan ‘Al-Nashata’ yang didapati di dalam tiga ayat di dalam Al-Quran. Ianya berkaitan dengan ciptaan dan kejadian. Ayat-ayatnya adalah seperti berikut:
– Surah 29 Al-Ankabut, Ayat 20
– Surah 53. An-Najm, Ayat 47
– Surah 56. Al-Waqi’a, Ayat 62

Sokongan dan maklum balas saudari-saudari adalah sangat penting buat kami. Apatah lagi, kami baru sahaja berkecimpung dalam bidang ini. Sekiranya saudari ingin memberi pandangan anda, sila e-mel kami ke contactus@nashata.com.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *