Rahsia Kelihatan Awek Muda Menerusi Acara Sukan Larian

Intan Suraya adalah seorang ibu kepada dua orang anak. Beliau seorang Muslimah yang aktif dalam acara marathon dan kami berpeluang menemuramah beliau untuk berkongsi pengalaman beliau bersama dalam menjalani aktiviti sukan secara berterusan dan mengorek rahsia apa yang membuatkan beliau mempunyai minat yang mendalam dalam acara larian ini. Mari kita menyingkap rahsia Intan yang dapat mengekal paras rupanya yang muda, cantik dan cergas untuk kita amalkan bersama.
gambar both

Apakah aktiviti sukan yang anda sertai?

Saya menyertai sukan larian.

Berapa kerap anda bersukan?

Saya bersukan (berlari) sekurang-kurangnya 3-4 kali seminggu.

Anda selalu bersukan bersama siapa dan mengapa?

Saya suka berlari bersama kawan-kawan kerana ia lebih seronok. Saya dapat menambah ilmu pengetahuan dan juga berkongsi pendapat. Selain itu, saya dapat mempertingkatkan keupayaan dalam larian saya. Biasanya saya berlari bersama kawan-kawan pada hujung minggu. Walau bagaimanapun, kadang-kadang saya terpaksa berlari sendirian kerana faktor masa dan kelapangan.

Apa yang membuatkan anda bersemangat untuk melakukan aktiviti sukan?

Saya memilih larian sebagai aktiviti bersukan saya. Bagi saya larian adalah sukan yang paling mudah. Saya cuma perlukan pakaian dan kasut sukan. Berlari boleh dimana-mana sahaja. Di taman, kawasan rumah, padang dan sebagainya. Saya bersemangat untuk bersukan kerana saya sangat menjaga kesihatan diri saya. Faktor utamanya adalah sejarah kesihatan keluarga saya yang tidak baik. Ibu saya mengidap sakit jantung, darah tinggi dan diabetis, begitu juga arwah bapa saya yang mengidap sakit jantung dan darah tinggi. Dikalangan saudara mara ada yang mengidap cancer. Dimana kesemua penyakit berkenaan mudah diwarisi. Secara umumnya saya melihat, keluarga saya tidak mengamalkan aktiviti sukan pada awalnya. Justeru itu, saya bertindak untuk bersukan bagi mencegah dari mewarisi penyakit seperti mereka selain mengamalkan permakanan yang sihat. Selain itu saya merasa puas sekiranya pada setiap acara larian yang saya sertai saya dapat habiskan larian saya, dan bonus bagi saya sekiranya saya dapat pecahkan rekod larian saya sendiri pada satu-satu acara.

Bila anda mula menyertai aktiviti larian ini?

Saya menyertai acara larian ini semenjak dibangku sekolah lagi iaitu pada tahun 1990-an saya suka berlari, saya menyertai acara merentas desa. Semasa saya di IPT saya banyak menyertai acara larian sebagai aktiviti bersukan. Saya menyertai acara larian (perlumbaan) pada tahun 2009, apabila salah seorang rakan sepejabat mengajak berlari bersama pada acara larian tersebut.

Berapa acara larian yang anda cadang untuk sertai sepanjang tahun ini?

Pada setiap tahun saya bercadang akan berlari sekurang-kurangnya 12 acara larian (satu acara dalam satu bulan). Saya bercadang untuk menyertai 2 acara marathon (42km) dan yang selebihnya saya akan memilih acara yang bersesuaian dengan tempat dan masa.

Bagaimana persiapan diri anda untuk acara larian ini?

Saya akan pastikan saya sihat, dan tidak mengalami kecederaan semasa larian saya. Saya akan berlatih 3-4 kali seminggu. Setiap latihan saya akan catitkan masa dan jarak larian saya.

Apa matlamat anda dalam bersukan?

Matlamat saya adalah ingin sentiasa sihat dan cergas untuk saya menjalani tugas harian saya. Selain itu juga, dalam acara larian saya suka mencuba keupayaan diri saya sehingga saya dapat tamatkan larian.

Apa pakaian yang anda pakai dan apa yang membuatkan anda bersemangat untuk melakukan latihan?

Saya memakai pakaian yang selesa, dan mengikut kesesuaian sewaktu acara larian saya. Sekiranya acara larian yang melebihi 10km saya akan memakai baju dan seluar compression. Saya juga suka pakaian sukan yang berwarna dan corak yang menarik.

Apa yang anda pakai dan apa yang membuatkan anda perlukan untuk bersemangat dalam acara marathon?

Semasa marathon, saya akan pakai 2 pasang baju. Bahagian dalam saya akan memakai baju compression berlengan panjang. Bahagian luar saya memakai tshirt dari fit yang ringan dan menarik. Saya akan memakai seluar compression dan running skirt. Selain itu saya juga memakai tudung. Bagi saya untuk bersemangat saya perlukan pakaian yang selesa, saya perlukan tudung yang ringkas, selesa dan menarik.

Ada sebarang nasihat kepada rakan-rakan wanita di luar sana yang inginkan kehidupan yang aktif?

Kepada semua muslimah, bagi saya kesihatan yang baik adalah anugerah yang tidak terhingga.  Kita boleh mengubah dan mencegah penyakit dengan melakukan aktiviti bersukan. Luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti bersukan sekurang-kurangnya seminggu 3 kali selama 30 minit.

Semoga ilmu dan pengalaman yang beliau kongsikan bersama kita semua dapat sedikit sebanyak memberikan semangat dan kesan yang mendalam untuk kita sama-sama lakukan aktiviti sukan bagi mengekalkan kesihatan yang baik sentiasa. Mari kita contohi Intan Suraya sebagai mentor terbaik bagi diri kita semua!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *